Perkahwinan merupakan penyatuan dua hati antara si gadis dan si jejaka. Oleh sebab itu, perkahwinan adalah penting untuk didokumenkan agar susur galur dan juga keturunan dikenal pasti bagi generasi masa hadapan. Seperti di negara lain, Malaysia turut mewajibkan pasangan yang baru berkahwin untuk mendaftar perkahwinan mereka secara sah di Jabatan Pendaftaran Negara.
Terdapat dua prosedur perkahwinan di Malaysia iaitu prosedur perkahwinan bagi pasangan Islam dan juga prosedur perkahwinan sivil bagi bukan Islam. Untuk masa ini, artikel kali ini akan memfokuskan prosedur pendaftaran perkahwinan sivil bagi pasangan bukan Islam terlebih dahulu. Di Malaysia, pendaftaran perkahwinan adalah satu kewajipan bagi setiap rakyatnya. Walaupun proses pendaftaran perkahwinan ini adalah wajib, namun upacara perkahwinan biasanya dijalankan mengikut budaya, tradisi dan juga agama pasangan yang bakal berkahwin.
Apakah cara pendaftaran perkahwinan sivil bagi pasangan bukan Islam?
Sebenarnya, terdapat 2 cara pendaftaran perkahwinan sivil yang boleh dilakukan di Malaysia. Ia bergantung kepada tempat dan proses pendaftaran itu sendiri. Anda boleh mendaftar perkahwinan anda di:
1. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

Sekiranya anda dan pasangan ingin berkahwin dan mendaftar perkahwinan di Jabatan Pendaftaran Negara, anda perlulah ke sana bersama tunang anda kerana anda perlu mengisi borang permohonan itu sendiri. Borang permohonan yang dimaksudkan ialah Borang JPN.KC02 yang boleh anda dapati di JPN. Pendaftaran perkahwinan hendaklah dibuat selepas 21 hari + 1 hari dan tidak lewat daripada 6 bulan dari tarikh permohonan dikemukakan. Oleh sebab itu, anda dinasihatkan untuk menghantar permohonan anda kira-kira sebulan sebelum tarikh pendaftaran perkahwinan anda.
Antara barang yang perlu anda bawa ialah kad pengenalan dan salinan fotostatnya serta gambar berwarna bersaiz ukuran pasport setiap satu. Oh ya, RM 30 dikenakan bagi pemprosesan permohonan anda. Selepas anda selesai mengisi borang permohonan, anda harus memilih tarikh pendaftaran perkahwinan anda. Tarikh pendaftaran perkahwinan anda haruslah 3 minggu selepas permohonan didaftarkan dan tidak lewat 6 bulan dari tarikh tersebut.
Apabila tiba tarikh perkahwinan anda, anda dan pasangan serta dua orang saksi haruslah hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk pendaftaran perkahwinan anda. Pastikan anda memakai pakaian yang formal ketika di sana. Dan selepas anda mendaftar perkahwinan, anda bolehlah mengadakan majlis kahwin yang disertai oleh rakan dan kerabat keluarga.
2. Gereja, Kuil mahupun Persatuan bagi Penolong Pendaftar Perkahwinan

Bagi anda dan pasangan yang ingin mendaftar perkahwinan di gereja, kuil atau mana-mana persatuan yang diselenggara oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, anda haruslah berkunjung ke Jabatan Pendaftaran Negara terlebih dahulu untuk mengisi borang permohonan pendaftaran perkahwinan. Jabatan Pendaftaran Negara akan menugaskan seorang pegawai mereka untuk hadir ke majlis perkahwinan anda sebagai saksi perkahwinan itu berlangsung.
Anda boleh mengatur masa dan tarikh untuk hari istimewa anda ini. Perlu diingatkan bahawa anda haruslah berbincang terlebih dahulu dengan pegawai daripada Jabatan Pendaftaran Negara akan masa dan tempat yang ingin diadakan majlis agar mereka boleh menghadiri majlis perkahwinan anda tanpa sebarang masalah. Oh ya, anda dan pasangan perlu menyerahkan dokumen ke Jabatan Pendaftaran Negara dalam tempoh 1 minggu dari tarikh kahwin dan pendaftaran perkahwinan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan.

Bagi warganegara Malaysia yang ingin mendaftar mengikut adat perkahwinan atau agama di gereja, kuil atau persatuan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan yang diberi kuasa, pengesahan status perkahwinan anda hendaklah diperolehi daripada mana-mana pejabat Jabatan Pendaftaran Negara sebelum akad nikah dan pendaftaran perkahwinan. Yuran yang dikenakan ialah RM20.00 untuk sijil nikah.
Selain itu, anda akan dikenakan bayaran sebanyak RM 500 bagi proses permohonan lesen untuk melangsungkan perkahwinan di tempat selain pejabat Pendaftar di bawah Seksyen 21(3) Akta 164. Jika anda memerlukan maklumat lanjut, anda boleh layari laman web Jabatan Pendaftaran Negara. Apabila tiba hari berlangsungnya perkahwinan anda, anda dan pasangan hanya perlu berpakaian formal dan menjemput tetamu yang terdiri daripada rakan-rakan serta kaum kerabat keluarga bagi meraikannya.
Begitulah prosedur pendaftaran perkahwinan sivil di Malaysia. Diharapkan perkongsian ini bermanfaat untuk anda yang ingin menjejakkan kaki ke alam perkahwinan. Semoga ikatan perkahwinan anda berkekalan sehingga ke akhir hayat.
Perhatian: Senarai di atas merupakan hasil tinjauan pasukan My Weekend Plan bagi menyampaikan maklumat yang berguna kepada masyarakat. Sekiranya anda mempunyai cadangan, emailkan kepada kami di [email protected]. Bagi maklumat lanjut, anda boleh merujuk hak cipta, privasi dan polisi kami.