Sejak kebelakangan ini, isu haiwan teraniaya menjadi perkara yang membimbangkan dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Walaupun haiwan adalah makhluk ciptaan Tuhan, tetapi ia tidak dijadikan untuk sesetengah individu melepaskan amarah terhadap mereka sehingga sanggup membunuh, meracun dan menyeksa haiwan-haiwan terbiar seperti anjing mahupun kucing.
Baru-baru ini viral tentang isu kes Puma, kucing yang gebu, sihat dan cantik molek yang dihantar boarding di salah sebuah pusat boarding di Kuala Lumpur. Kucing ini menjadi kurus dan berada dalam keadaan teruk apabila diambil oleh pemiliknya selepas ditinggalkan 14 hari di pusat boarding tersebut. Siapa sahaja yang tidak terkilan apabila melihat keadaan si manja yang dahulunya lawa dan comel kini berubah menjadi seperti kucing jalanan yang terbiar.
Keadaan ini semestinya meremukkan hati si pemilik dan ramai lagi pencinta kucing. Perkara yang berlaku ini masih lagi dalam siasatan dan ramai yang mengharapkan semoga Puma mendapat keadilan yang sewajarnya.

Kes-kes seperti ini sebenarnya banyak berlaku di sekeliling anda, sama ada anda sedar mahupun tidak. Dahulu, kita dikejutkan dengan tindakan seorang lelaki yang memanah mati seekor anjing di Alor Setar. Tindakannya berjaya dirakam oleh cctv ketika itu dan telah mencetuskan kemarahan netizen di seluruh Malaysia. Tindakan seumpama ini adalah tidak normal dan kejam kerana memperlakukan haiwan sebegitu.
Walaupun haiwan adalah makhluk ciptaan tuhan tetapi mereka tidak dijadikan untuk manusia melempias amarah terhadap mereka. Mana kasih sayang dan rasa hormatnya manusia terhadap haiwan seumpama ini? Mereka langsung berkeliaran di sana sini hanya kerana lapar semata-mata dan terpaksa mengemis untuk mengisi perut yang sudah beberapa hari kosong tidak terisi. Mana empati kita sebagai seorang manusia yang diberikan akal dan boleh berfikiran rasional untuk menangani isu ini? Kekejaman dan penyeksaan terhadap haiwan bukanlah jawapannya. Kita sebagai manusia perlu belajar untuk hidup seiring bersama haiwan bagi menyediakan kehidupan yang damai bagi kedua belah pihak.
Empati terhadap haiwan menjadikan kita sebagai manusia yang kaya dengan kemanusiaan dan juga keadaan sekeliling. Bersedekah dan memberi makan kepada haiwan terbiar atas niat untuk membantu mengurangkan kelaparan mereka adalah salah satu tindakan baik yang harus dilakukan oleh seorang manusia. Haiwan-haiwan terbiar ini adalah anugerah daripada tuhan untuk kita jaga dan pelihara bersama-sama dengan baik.

Sebenarnya, pendekatan dan penilaian sifat empati ini perlu diperkenalkan dan dibajai menerusi pendidikan dari rumah dan sekolah agar dapat membentuk insan yang berhati mulia dan kasih kepada haiwan dan hal di sekelilingnya. Masyarakat seumpama ini bukan sahaja dapat hidup dengan harmoni malah ia turut disayangi oleh haiwan atas sifatnya yang suka membantu memberi makanan kepada haiwan yang kelaparan. Tidak rugi seseorang itu untuk bersedekah pada manusia dan juga haiwan melainkan rezekinya semakin diluaskan oleh tuhan.
Selain itu, penguatkuasaan undang-undang harus diperketatkan bagi mereka yang menganiayai haiwan. Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM 20,000 sehingga RM 100,000 serta penjara sehingga 3 tahun jika didapati bersalah menganiaya haiwan patut disebarluaskan supaya mereka yang berbuat demikian dapat dihukum dengan setimpalnya. Selain itu, mereka yang ternampak perbuatan kejam yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab bolehlah membuat laporan di balai polis atau mengadu kepada Persatuan Haiwan Malaysia (010-530 4749).

Haiwan tidak boleh bersuara untuk menyatakan ketidakadilan bagi mereka tetapi kitalah selaku manusia yang perlu berasa kasih dan menghormati hak haiwan yang hidup dalam kalangan kita. Kes-kes penderaan yang berlaku terhadap haiwan boleh dijadikan iktibar betapa kejamnya manusia apabila kewarasan akal telah hilang dan betapa beratnya hukuman yang bakal dikenakan kepada mereka yang berjiwa kejam kerana menyeksa dan membunuh haiwan yang tidak bersalah ini.
Walaupun ada segelintir kes mengenai haiwan seperti anjing liar yang bersikap agresif terhadap manusia, tetapi itu bukanlah penyebab mereka perlu diseksa kejam oleh manusia. Haiwan-haiwan terbiar ini memerlukan pertolongan kita untuk terus hidup di atas muka bumi ini, dan jika anda mampu, berikanlah makanan buat mereka supaya mereka dapat mengisi perut yang lapar. Tiada ruginya anda berkongsi rezeki bersama haiwan. Semoga tuhan akan memberi kenikmatan yang terbaik buat anda yang kasihkan haiwan.
Sumber: astroawani.com / animal.org.my / propertyguru.com.my / hmetro.com.my
Apa pendapat anda? Dah baca, share dan like, ok!
Perhatian: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Jadi, segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.