Solat Sunat Aidiladha

Setiap tahun, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha dengan melakukan ibadah korban yang dituntut oleh agama. Hari Raya Aidiladha atau dikenali sebagai Hari Raya Haji biasanya diraikan pada 10 Zulhijjah. 

Mengapakah ia dinamakan ‘Eid’?

Perkataan ‘eid’ ( العِيْدُ ) diambil daripada perkataan ‘audah’ ( العَوْدة ) yang bermaksud kembali atau berulang. Jadi, mungkin kerana hari raya ini berulang dan kembali setiap tahun atau berulangnya kegembiraan menyambutnya.

Apakah hukum solat sunat ini?

Hukum solat sunat ini adalah sunat muakkad, iaitu solat sunat yang digalakkan di dalam Islam.Solat sunat ini boleh dikerjakan secara berjemaah untuk memperingati peristiwa Nabi Ibrahim A.S. dan anaknya, Nabi Ismail A.S. serta memperolehi ganjaran pahala yang besar. Setelah selesai solat sunat dua rakaat ini, dua khutbah  akan dibacakan oleh Khatib, yakni pembaca khutbah. Rasulullah S.A.W. tidak pernah meninggalkan solat sunat ini semenjak ia disyariatkan sehinggalah Baginda wafat.  

Solat-Sunat-Aidiladha
Kredit Gambar: ohbulan.com

Bilakah solat sunat ini dikerjakan?

Solat sunat ini dikerjakan sesudah matahari terbit sehingga gelincir matahari, lebih kurang dalam jam 8.00 pagi (Semenanjung Malaysia) sehingga sebelum masuk waktu Zohor. Berdasarkan hadis Riwayat Al-Bukhari daripada al-Barra’ r.a. bahawa dia berkata: Saya mendengar Rasulullah S.A.W. berkhutbah dengan bersabda:

”Perkara pertama yang akan kita lakukan pada hari ini ialah mengerjakan solat.”

Oleh sebab itu, waktu yang paling afdal ialah ketika matahari naik sekadar segalah kerana pada waktu itulah Rasulullah S.A.W. sering melakukan solat. Selain itu, di pagi hari raya, kita disunatkan untuk mandi sunat hari raya sebelum ke masjid. Untuk pengetahuan anda, solat sunat ini dilakukan lebih awal berbanding dengan Solat Sunat Aidilfitri kerana sesudah solat jemaah akan bersegera untuk menjalani ibadah korban. 

Bagaimanakah cara mengerjakan Solat Sunat Aidilfitri?

Advertise With My Weekend Plan

1. Niat

Anda boleh membaca niat solat sunat ini di dalam hati semasa mengangkat takbir:

Solat-Sunat-Aidiladha-
Kredit Gambar: akuislam.com

Usolli Sunnatan Li ‘idilAdha Rak’ataini Adaan Lillahi Taala

Maksud: Sahaja aku sembahyang sunat Aidiladha dua rakaat tunai kerana Allah Taala.

2. Rakaat Pertama- Doa Iftitah

Anda boleh mula membaca doa Iftitah selepas berniat dan mengangkat takbir.

Solat-Sunat-Aidiladha-
Kredit Gambar: tzkrh.com / tzkrh.com

3. Takbir 7 kali

Takbirlah 7 kali dan berselang-seli dengan tasbih di bawah:

Takbir--kali-
Kredit Gambar: akuislam.com

Subhanallah Walhamdulillah Wala ilaaHa illallahu Wallahu Akbar Walaa Haulawala Quwwata illa Billahil ‘Aliyyil ‘Adzim 

Maksudnya:

Maha Suci Allah, segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar, dan tiada daya dan upaya serta kekuatan (bagi kita) melainkan dengan kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.

4. Rakaat Pertama- Surah Al-Fatihah

Bacalah surah Al-Fatihah.

Rakaat-Pertama-
Kredit Gambar:teratakemas.com

5. Rakaat Pertama- Surah Al-Kafirun

Kemudian, anda boleh membaca mana-mana surah di dalam Al-Quran. Antara surah yang boleh dibaca adalah Surah Al-Kafirun.

Rakaat-Pertama-Surah-Al-Kafirun-
Kredit Gambar: akuislam.com

Qul Yā Ayyuhal-Kāfirūn. Lā A‘Budu Mā Ta‘Budūn. Wa Lā Antum ‘Ābidūna Mā A‘Bud. Wa Lā Ana ‘Ābidum Mā ‘Abattum. Wa Lā Antum ‘Ābidūna Mā A‘Bud. Lakum Dīnukum Wa Liya Dīn

Maksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.

6. Rukuk

Selesai membaca surah Al-Kafirun, anda boleh teruskan dengan rukuk seperti biasa.

7. Bangun Iktidal

Selepas itu, anda bangun iktidal (berdiri tegak) sambil membaca bacaan yang biasa dibacakan seperti solat fardu.

8. Sujud Pertama

Kemudian, bersujudlah seperti sujud kebiasaannya sambil membaca bacaannya.

9. Duduk Antara Dua Sujud

Dalam posisi ini, anda hendaklah membaca bacaan seperti kebiasaannya di dalam solat fardu.

10. Sujud Kedua

Lakukan sujud kedua sepertimana kebiasaannya.

11. Duduk Istirahat

Sebelum anda bangun untuk menyempurnakan rakaat kedua, anda duduk seketika dalam 3 saat sebelum bangun untuk rakaat seterusnya.

12. Takbir 5 kali

Apabila anda bangun, takbirlah 5 kali berselang-seli dengan tasbih di bawah:

Takbir--kali-
Kredit Gambar:akuislam.com

Subhanallah Walhamdulillah Wala ilaaHa illallahu Wallahu Akbar Walaa Haulawala Quwwata illa Billahil ‘Aliyyil ‘Adzim 

Maksudnya:

Maha Suci Allah, segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar, dan tiada daya dan upaya serta kekuatan (bagi kita) melainkan dengan kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.

13. Rakaat Kedua-Surah Al-Fatihah

Usai anda mengangkat takbir, mulakan rakaat kedua ini dengan bacaan Surah Al-Fatihah.

Rakaat-Kedua-Surah-Al-Fatihah-
Kredit Gambar:teratakemas.com

14. Rakaat Kedua-Surah Al-Ikhlas

Selepas surah Al-Fatihah, anda boleh membaca mana-mana surah di dalam Al-Quran. Antaranya adalah Surah Al-Ikhlas.

Surah-Al-Ikhlas--
Kredit Gambar: akuislam.com

Qul Huwallāhu Aḥad. Allāhuṣ-Ṣamad. Lam Yalid Wa Lam Yūlad. Wa Lam Yakul Lahū Kufuwan Aḥad

Maksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.

15. Rukuk

Selesai membaca surah Al-Ikhlas, anda boleh teruskan dengan rukuk seperti biasa.

16. Sujud Pertama

Kemudian, bersujudlah seperti sujud kebiasaannya sambil membaca bacaannya.

17. Duduk Antara Dua Sujud

Dalam posisi ini, anda hendaklah membaca bacaan seperti kebiasaannya di dalam solat fardu.

18. Sujud Kedua

Lakukan sujud kedua sepertimana kebiasaannya.

19. Duduk Tahiyyat Akhir

Duduk tahiyyat akhir adalah duduk ketika membaca tahiyyat akhir. Anda disunatkan untuk duduk secara tawaruk, yakni duduk dengan menghulurkan kaki kiri ke kanan dan merapatkan punggung ke lantai. Ketika ini, anda haruslah membaca bacaan Tahiyyat Akhir.

20. Salam

Akhiri solat dengan memberi salam, bermula dari kanan kemudian memalingkan muka ke kiri. 

Nota: Selepas salam, dibacakan dua khutbah oleh Khatib dan para jemaah hendalkah diam dan mendengar khutbah tersebut.

Begitulah salah satu tatacara Solat Sunat Aidiladha. Diharapkan semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada anda dan semoga amalan kita ini diterima oleh Allah s.w.t. Amin. Selamat beribadah!

Perhatian: Senarai di atas merupakan hasil tinjauan pasukan My Weekend Plan bagi menyampaikan maklumat yang berguna kepada masyarakat. Sekiranya anda mempunyai cadangan, emailkan kepada kami di support@myweekendplan.com.my. Bagi maklumat lanjut, anda boleh merujuk hak cipta, privasi dan polisi kami.

Advertise With My Weekend Plan
Close
© Copyright 2023 by My Weekend Plan. All Rights Reserved.
Close