12 Permainan Tradisional Menarik 2024

Permainan tradisional merupakan permainan yang dimainkan oleh kanak-kanak pada waktu dahulu sebelum adanya gadget. Permainan seperti ini seringkali melibatkan pergerakan tubuh badan dan bahan-bahan ringkas yang boleh didapati di sekitar anda seperti guli, tin kosong mahupun selipar.

Kalau dahulu, anda dan rakan-rakan akan berkumpul dan bermain pada waktu petang dengan riangnya. Ada sahaja idea permainan yang berlegar di fikiran anda. Yang penting, anda dan rakan-rakan berasa seronok dan gembira walaupun hanya menggunakan barang-barang ringkas yang boleh ditemui di jalanan.

Apakah manfaat bila bermain permainan tradisional?

Sebenarnya, permainan tradisional mempunyai keunikannya tersendiri. Selain ia merupakan warisan budaya bangsa Malaysia, ia juga cerminan adat berbilang kaum yang unik di negara ini. Bermain permainan tradisional dapat mengukuhkah jati diri anak Malaysia sekali gus mengingatkan kita kepada tradisi masyarakat dahulu. Apabila kita bermain permainan tradisional, secara tidak langsung keseluruhan anggota badan kita akan mula bergerak dan meningkatkan lagi skil ketangkasan yang dimiliki baik dari segi kecergasan mahupun minda.

Namun kini, permainan tradisional sudah jarang dimainkan dan semakin dilupakan. Anak-anak muda sekarang lebih gemar bermain gadget seperti tablet, telefon mahupun game online untuk mengisi masa lapang mereka. Kebanyakannya hanya bertumpu pada gadget masing-masing dan secara tidak langsung ia menyebabkan mereka menjadi pasif dan introvert. Tetapi jangan risau, anda boleh mengajak mereka untuk mencuba permainan tradisional ini! Berikut adalah 12 permainan tradisional menarik yang boleh anda cuba.

12 Permainan Tradisional Menarik 2024

Advertise With My Weekend Plan

1. Lompat Getah

Lompat Getah
Image credit: Twitter

Lompat getah ini bermula apabila anda dan salah seorang rakan anda berdiri melintangi kawasan sambil memegang gelang getah yang panjang. Rakan anda yang lain akan melompat merentasi gelang getah tersebut tanpa mengenainya. Permainan menjadi semakin menarik apabila tahap kesukaran mula dipertingkatkan, iaitu daripada buku lali sehinggalah ke bahu.

2. Konda-Kondi

Konda Kondi
Kredit Gambar: facebook.com

Permainan tradisional ini selalu menjadi pilihan kanak-kanak dahulu untuk berseronok. Cara permainan ini mudah sahaja, anda perlu mengungkitkan kayu anak dengan menggunakan kayu ibu. Selepas anda berjaya mengungkitnya, anda perlu mengejar kayu anak dan menangkapnya sebelum ia jatuh ke tanah.

3. Congkak

Congkak
Kredit Gambar: merdeka.com

Congkak merupakan salah satu permainan tradisional yang selalu dimainkan oleh kanak-kanak dahulu. Congkak mempunyai 2 lubang besar di setiap penghujungnya yang dipanggil rumah dan terbahagi kepada dua bahagian yang terdiri daripada 7 lubang sederhana di setiap belah pihak. Ada yang menggunakan guli ataupun batu kecil untuk dijadikan buah dalam permainan ini.

4. Galah Panjang

Galah Panjang
Kredit Gambar: twitter.com

Permainan ini dimulakan dengan melukis petak-petak yang besar di atas tanah. Kemudiannya, anda dan rakan-rakan akan membentuk 2 kumpulan bagi permainan ini. Di setiap petak itu, akan terdapat ahli kumpulan lawan yang menjaga kawasannya agar anda tidak melepasi petak-petak tersebut. Untuk menang, anda perlu melepasi ruangan petak tanpa disentuh atau ditangkap oleh pasukan lawan.

5. Batu Seremban

Batu Seremban
Kredit Gambar: twitter.com

Permainan ini hanya memerlukan 5 anak batu sahaja. Anak-anak batu ini akan dilempar dan disambut oleh anda tanpa jatuh. Setiap tahap kesukarannya berbeza. Anda akan bermula dengan melempar dan menangkap satu anak batu dahulu. Jika anda berjaya melepasi halangan ini, anda akan melempar dua anak batu dan sehinggalah kepada 5 anak batu. Walaupun permainan ini hanya dimainkan dalam keadaan duduk, tetapi konsentrasi dan gerakan tangan memainkan peranan yang penting untuk memenangi permainan ini.

6. Baling Selipar

Baling Selipar
Kredit Gambar: twitter.com

Sepertimana nama permainan ini, anda hanya memerlukan selipar untuk bermainnya. Selipar yang keras menjadi pilihan ramai apabila bermain permainan ini. Cara bermainnya mudah sahaja. Anda dan rakan-rakan perlu membentuk 2 kumpulan. Satu kumpulan akan berusaha menyusun selipar secara menegak manakala kumpulan lawan pula akan cuba menjatuhkan susunan selipar tersebut dengan membaling selipar ke arah susunan selipar tadi. Siapa yang terkena balingan selipar itu akan terkeluar daripada permainan tersebut.

7. Main Lidi

Main Lidi
Kredit Gambar: siraplimau.com

Main lidi merupakan permainan yang mudah. Anda hanya memerlukan lidi, gerakan tangan dan konsentrasi tinggi bagi memenangi permainan ini. Caranya, anda perlu mengumpulkan dan melemparkan lidi supaya ia berselerak di atas permukaan meja. Dengan berhati-hati, anda perlu mengumpul lidi tanpa menggerakkan lidi-lidi lain. Oh ya, jika tiada lidi, anda boleh menggunakan pensil atau pen untuk bermainnnya.

8. Main Guli

Main Guli
Kredit Gambar: ms-my.facebook.com

Seperti main lidi, main guli juga memerlukan konsentrasi tinggi dan gerakan tangan yang tepat. Anda perlu melukis bulatan di atas tanah dan menempatkan guli di tengahnya. Untuk bermainnya, anda perlu membaling atau menjentik guli supaya ia mengenai sasaran.

9. Pondok-pondok

Pondok pondok
Kredit Gambar: yuhaisya.blogspot.com

Siapa kata main pondok-pondok hanyalah untuk budak perempuan? Tanggapan ini tidak tepat sama sekali. Ada juga dalam kalangan budak lelaki yang bermain pondok-pondok. Dalam permainan ini, anda bebas menjadi sesiapa sahaja. Ada yang bermain masak-masak, ada yang bermain jual-menjual barang dan banyak lagi. Semuanya bergantung kepada imaginasi anda. Guna sahaja barang yang ada untuk dibuat main asalkan tidak dimarahi emak.

10. Baling Tin

Baling Tin
Kredit Gambar: fairusmamat.com

Permainan ini konsepnya lebih kurang sama dengan permainan Baling Selipar. Cuma, apa yang membezakannya ialah anda perlu menyusun tin-tin kosong sehingga tinggi dan mengelaknya daripada dijatuhkan oleh pihak lawan. Dua kumpulan perlu dibentuk untuk bermain dalam permainan ini.

11. Ting-ting

Ting ting
Image credit: Cetus

Permainan tradisional ini dimainkan dengan melukis petak-petak berbentuk kapal terbang di atas tanah. Anda dan rakan-rakan akan menggunakan anak batu untuk dijadikan buah. Buah-buah inilah yang akan dilempar oleh anda ke dalam petak-petak itu. Jika anda berjaya melepasinya, anda perlu melompat atau berjengket-jengket sewaktu melepasi petak-petak tersebut untuk mara ke peringkat seterusnya.

12. Lompat Tikus

Lompat Tikus
Kredit Gambar: deviantart.com/diannaralucinario

Permainan Lompat Tikus ini memerlukan gerakan lincah daripada anda untuk memenangi permainan ini. Anda perlu berlari, melompat atau merangkak bagi melepasi halangan tangan dan kaki yang dibuat oleh kumpulan lawan. Semakin lama, halangan akan menjadi semakin tinggi dan sukar. Jadi, anda perlu bersedia untuk melompat tanpa mengenai kaki atau tangan pasukan lawan. 

Sebenarnya, terdapat banyak lagi permainan tradisional yang boleh anda mainkan. Anda perlu senantiasa menerokai warisan dan budaya untuk mempelajarinya. Seronok tau bermain permainan seperti ini. Semoga senarai yang kami kongsikan dapat memberi manfaat kepada anda.


Perhatian: Senarai di atas merupakan hasil tinjauan pasukan My Weekend Plan bagi menyampaikan maklumat yang berguna kepada masyarakat. Sekiranya anda mempunyai cadangan, emailkan kepada kami di support@myweekendplan.com.my. Bagi maklumat lanjut, anda boleh merujuk hak cipta, privasi dan polisi kami.

Advertise With My Weekend Plan
Close
© Copyright 2023 by My Weekend Plan. All Rights Reserved.
Close