Rukun Solat dalam Islam

Solat merupakan tiang agama. Tidak kira apa jua keadaan anda atau di mana anda berada, solat harus didirikan dengan sempurna. Oleh itu, selaku umat Islam, anda harus mengetahui tentang rukun solat sebelum anda mengerjakan solat.

Apakah itu Rukun Solat?

Rukun solat ialah perkara yang sebahagian daripada solat dan bergantung kepadanya sah sesuatu solat itu. Secara amnya, rukun solat mempunyai 13 rukun yang terbahagi kepada 3 kategori utama iaitu Rukun Qalbi, Fi’li dan Qauli.

Rukun Qalbi bermaksud rukun mengerjakan ke atas pekerjaan hati, manakala Rukun Fi’il membawa maksud rukun mengerjakan ke atas perbuatan dan gerakan solat. Rukun Qauli pula membawa maksud kepada rukun yang mengerjakan ke atas ucapan dan kata-kata melalui mulut di dalam solat. Jika anda keliru, anda boleh rujuk jadual di bawah untuk lebih pengertian:

NO.RUKUN SOLATKATEGORI
1.NiatQalbi
2.Berdiri betulFi’il
3.Takbiratul IhramQauli
4.Membaca Al-FatihahQauli
5.RukukFi’il
6.I’tidalFi’il
7.SujudFi’il
8.Duduk antara dua sujudFi’il
9.Duduk tahiyyat akhirFi’il
10.Bacaan tahiyyat akhirQauli
11.Selawat ke atas nabi dalam tahiyyat akhirQauli
12.SalamQauli
13.TertibQalbi

Rukun Solat ini patut diikuti supaya solat anda sah dan sempurna. Berikut adalah Rukun Solat dan juga huraiannya:

1. Niat

Anda perlu menyatakan niat solat anda di dalam hati. Pastikan waktu solat apa dan berapa rakaat yang akan anda kerjakan di dalam solat ini.

2. Berdiri betul

Berdiri betul
Kredit Gambar: wordpress.com

Anda perlu berdiri dengan tegak dan tertib bagi mereka yang mampu. Bagi yang tidak berupaya, kelonggaran atau rukhsah diberikan untuk mereka sama ada solat dalam keadaan duduk (jika tidak mampu berdiri), menggiring pada rusuk kanan sambil menghadap kiblat (jika tidak mampu duduk), atau jika tidak mampu berdiri tegak, duduk mahupun mengiring, anda dibenarkan untuk baring dalam keadaan menelentang dengan kaki dan perut menghadap kiblat. Yang penting, tulang belakang ditegakkan bagi yang mampu.

3. Takbiratul Ihram

Takbiratul Ihram
Kredit Gambar: wordpress.com

Takbilratul Ihram merupakan perbuatan yang menyempadani solat dengan perlakuan di luar solat. Ini bermakna, ia adalah penanda bermulanya satu perjalanan solat itu sehinggalah ke rukun solat terakhir iaitu salam. Disebabkan ia dinamakan rukun takbir, maka sebutan takbir ‘Allahu Akhbar’ adalah wajib bagi mereka yang boleh menuturkannya.Rukun ini wajib disertai dengan niatnya dan disunatkan untuk mengangkat kedua-dua belah tangan hingga ke paras bahu.

4. Membaca Al-Fatihah

Membaca Al Fatihah
Kredit Gambar: wordpress.com

Dalam solat, Surah Al-Fatihah merupakan satu-satunya surah yang wajib dibacakan. Surah ini wajib dibaca pada setiap rakaat. Bacaannya pula hendaklah tertib dan mengikut susunan ayat yang betul. Tajwidnya juga perlu dijaga.

5. Rukuk

Rukuk
Kredit Gambar: wordpress.com

Perbuatan rukuk adalah membongkok ke hadapan dengan sekurang-kurangnya sehingga tapak tangan anda mencapai lutut. Rukuk ini merupakan salah satu rukun yang disertakan dengan Tama’ninah iaitu berada dalam keadaan tetap semua anggota badannya sehingga cukup masa bagi membezakan perlakuan membongkok atau bangun daripadanya. Jika anda solat secara duduk, cukup memadai rukuk itu dengan membongkok ke hadapan sehingga dahinya selari dengan kepala lututnya.

6. I’tidal

Itidal
Kredit Gambar:wordpress.com

I’tidal merupakan keadaan kembalinya badan daripada keadaan rukuk kepada berdiri tegak semasa solat. Dalam rukun ini, Tama’ninah juga turut disertakan sekali dengan menetapkan anggota badan pada keadaan sebelum rukuk dalam masa yang cukup bagi membezakan keadaan selepas bangun dari rukuk dan sebelum bersujud.

7. Sujud

Sujud
Kredit Gambar: wordpress.com

Sujud adalah satu perbuatan yang menunjukkan kerendahan diri manusia terhadap Allah di dalam solat. Setiap rakaat (atau satu rukuk) mempunyai dua kali sujud. Sujud ini memadai dengan sekurang-kurangnya dahi bersentuhan dengan tempat solat. Lebih lengkap lagi jika ketujuh-tujuh anggota sujud iaitu dahi, dua tapak tangan, dua lutut dan dua tapak kaki mengenai tempat solat.

8. Duduk Antara Dua Sujud

Duduk Antara Dua Sujud
Kredit Gambar:wordpress.com

Duduk antara dua sujud merupakan perlakuan yang memisahkan antara dua kali sujud. Jadi, adalah sunat untuk anda duduk iftirasy, yakni duduk di atas tapak kaki kiri serta mendirikan tapak kaki kanan. Ia juga sunat untuk anda meletakkan dua belah tangan berhampiran lutut dan menjarakkan setiap jari atau meletakkan jari di atas lutut. Oh ya, Tama’ninah juga dikenakan dalam rukun ini.

9. Duduk Tahiyyat Akhir

Duduk Tahiyyat Akhir
Kredit Gambar: wordpress.com

Duduk tahiyyat akhir adalah duduk ketika membaca tahiyyat akhir. Anda disunatkan untuk duduk secara tawaruk, yakni duduk dengan menghulurkan kaki kiri ke kanan dan merapatkan punggung ke lantai. Keadaan ini berterusan sehinggalah rukun membaca selawat dan juga salam.

10. Bacaan Tahiyyat Akhir

Rukun ini diberi nama tahiyyat iaitu bererti ‘penghormatan’ atau tasyahud bererti ‘penyaksian’. Hal ini kerana bacaan yang dilafazkan akan terkandung daripada kedua-duanya. Berikut adalah bacaan tahiyyat. Bacaan ini hendaklah disambung dengan bacaan selawat ke atas Nabi Muhammaf S.A.W.

Membaca tahiyat akhir
Kredit Gambar: ms.wikipedia.org

11. Selawat Ke Atas Nabi Dalam Tahiyat Akhir

Sepertimana yang dinyatakan di atas, bacaan tahiyyat perlu diikuti dengan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W seperti di bawah:

Selawat Ke Atas Nabi Dalam Tahiyat Akhir
Kredit Gambar: ms.wikipedia.org

12. Salam

Salam
Kredit Gambar: wordpress.com

Salam ialah ucapan atau lafaz salam yang merupakan sebahagian daripada rukun solat. Untuk lebih sempurna, ucapannya ialah ‘Assalamualaikum warahmatullah’ yang membawa maksud “Sejahtera kepada kamu semua dan semoga dirahmati Tuhan”. Adalah disunatkan untuk memberi salam sebanyak dua kali dan sunat juga untuk menoleh ke kanan dahulu bagi salam yang pertama dan ke kiri bagi salam yang kedua.

13. Tertib

Tertib ialah rukun terakhir dalam rukun solat. Ia merangkumi keseluruhan rukun solat iaitu dengan memastikan segala perlakuan rukun berada dalam turutan yang betul, satu demi satu, dan mengutamakan yang mana dahulu dan yang kemudian, dikemudiankan. Jika tidak mengikut turutan, solat itu boleh terbatal.

Berikutlah rukun solat yang wajib anda ketahui selaku umat Islam. Solat merupakan tiang agama dan mengerjakannya adalah kewajipan buat kita. Diharapkan perkongsian kali ini dapat memberi manfaat kepada anda semua.

Perhatian: Senarai di atas merupakan hasil tinjauan pasukan My Weekend Plan bagi menyampaikan maklumat yang berguna kepada masyarakat. Sekiranya anda mempunyai cadangan, emailkan kepada kami di [email protected]. Bagi maklumat lanjut, anda boleh merujuk hak cipta, privasi dan polisi kami.

feature your brand now

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Close
© Hak Cipta 2022 oleh My Weekend Plan. Hak Cipta Terpelihara.
Close