Solat dan Pengertiaannya

Islam menitikberatkan pelaksanaan solat fardu dalam kehidupan sehari-hari. Pelaksanaan ini adalah wajib dan perlu dikerjakan oleh mereka yang sihat, baligh dan berakal. Sudah menjadi kewajipan selaku umat Islam untuk mengerjakan solat, terutama solat fardu, yang diwajibkan ke atas mereka sehari-hari. Solat merupakan rukun Islam kedua dan jika tertinggal, wajib diqadakannya. 

Apa itu Solat?

Solat merujuk kepada sembahyang dan perbuatan mengesakan serta menyembah Allah S.W.T. Solat ini dilakukan dengan merujuk kepada Al-Quran dan juga sunnah Rasulullah S.A.W. Menurut bahasa, solat ini ertinya doa. Manakala kalau dilihat daripada istilah, solat adalah ucapan dan perbuatan yang dimulakan dengan takbir dan disudahi dengan salam, lengkap beserta dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Secara umumnya, Islam terdiri daripada dua jenis solat iaitu solat fardu dan solat sunat. Solat fardu seperti Solat Subuh, Solat Zohor, Solat Asar, Solat Maghrib dan Solat Isyak merupakan solat yang wajib dikerjakan oleh umat Islam. Manakala solat sunat pula terdapat beberapa jenis, dan ia berpandukan kepada keadaan dan juga situasi sesuatu keadaan. Berikut adalah antara solat sunat yang biasa dikerjakan oleh umat Islam:

1. Solat Sunat Taubat

2. Solat Sunat Tarawih

3. Solat Sunat Tasbih

4. Solat Sunat Dhuha

5. Solat Sunat Isyraq

6. Solat Sunat Wuduk

7. Solat Sunat Hajat

8. Solat Sunat Tahajud

9. Solat Sunat Rawatib

10. Solat Sunat Witir

11. Solat Sunat Aidilfitri

12. Solat Sunat Aidiladha

Pengertiaannya
Kredit Gambar: sayidahnapisah.com

Bagaimanakah cara mengerjakan solat?

Sebenarnya, cara mengerjakan solat ini terdiri daripada 13 Rukun Solat. Dalam Rukun Solat, setiap ucapan dan perbuatan perlu dilakukan dengan tama’ninah dan tertib. Berikut adalah 13 Rukun Solat yang perlu anda ikuti semasa mengerjakan solat:

1. Berdiri (bagi yang mampu, jika tidak mampu, boleh duduk dan sebagainya)

2. Niat (lafaz niat sama ada solat fardu atau sunat. Lafaz niat ini penting)

3. Takbiratul Ihram

4. Membaca surah Al-Fatihah

5. Rukuk dengan tama’ninah

6. Iktidal dengan tama’ninah

7. Sujud dengan tama’ninah

8. Duduk di antara 2 sujud dengan tama’ninah

9. Duduk Tasyahhud Akhir

10. Membaca Tasyahhud Akhir

11. Berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. dalam Tasyahhud Akhir

12. Mengucapkan salam

13. Tertib

Untuk penerangan yang lebih lanjut, anda boleh melihat penerangan tentang 13 Rukun Solat ini. 

Apakah hukum solat?

Untuk solat fardu, hukumnya adalah wajib untuk dikerjakan ke atas mereka yang Islam, baligh, berakal dan sihat manakala untuk solat sunat pula ia terdiri daripada sunat muakkad dan bukan muakkad. Sunat Muakkad adalah sunat yang digalakkan untuk dilakukan yang mana apabila dilkerjakannya mendapat pahala. Sunat bukan Muakkad pula adalah sunat yang baik untuk dilakukan. Sunat Muakkad adalah sunnah Rasulullah S.A.W yang tidak pernah ditinggalkan oleh Baginda manakala sunat bukan Muakkad pula adalah sunnah yang ada kalanya ditinggalkan oleh Baginda.

hukum-solat
Kredit Gambar: traveltriangle.com

Di manakah tempat untuk mengerjakan solat?

Untuk mengerjakan solat, anda boleh melaksanakannya di mana sahaja asalkan badan, pakaian dan tempat solat anda bersih daripada hadas besar mahupun hadas kecil. Kebanyakannya, solat boleh dilakukan di rumah, surau ataupun masjid yang berdekatan dengan kediaman anda. Apabila kita menyebut perkataan masjid, masjid adalah rumah ibadah bagi umat Islam. Di Malaysia, terdapat beberapa masjid yang menjadi pusat ibadat dan pelancongan dek kerana reka bentuknya yang cantik dan juga luar biasa. Antara masjid yang popular di Malaysia adalah seperti berikut:

1. Masjid Wilayah Persekutuan

2. Masjid Negara

3. Masjid Kristal

4. Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Biru)

5. Masjid Sri Sendayan

6. Masjid Putra

7. Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin

8. Masjid Selat Melaka

9. Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung)

10. Masjid Zahir

Apakah syarat sah solat?

Selaku umat Islam, perkara ini perlu diketahui supaya dapat mengerjakan solat dengan tenteram dan lapang. Semua perkara ini perlu diikuti bagi memastikan solat kita lengkap dan akan diterima oleh Allah S.W.T. Berikut adalah syarat sah solat:

1. Suci dan bersih badan daripada hadas kecil dan besar

2. Suci dan bersih badan, pakaian dan tempat solat daripada najis

3. Menutup aurat

4. Menghadap kiblat

5. Yakin waktu solat telah masuk

Sebagai orang Islam, syarat wajib untuk melaksanakan solat adalah Islam, baligh, dan berakal. Selain itu, hendaklah sampai seruan Islam kepadanya serta cukup pancaindera, yakni sempurna penglihatan dan pendengarannya. Adalah wajib bagi kita selaku umat Islam yang sempurna kejadiannya untuk mengesakan dan tidak menyekutukan Allah S.W.T dengan hal yang lain. Mentaati perintah Allah S.W.T dengan menunaikan solat adalah salah satu cara untuk mendekatkan diri dengan si Pencipta selain mengundang rahmat daripada Allah S.W.T. Selain itu, menunaikan solat juga dapat pengampunan daripada Allah S.W.T.

Yakin-waktu-solat
 Kredit Gambar: siraplimau.com

Bagaimanakah untuk menentukan Kiblat?

Sebenarnya, anda boleh menentukan arah kiblat dengan menggunakan cara moden ataupun cara tradisional. Kedua-duanya dapat memberitahu anda arah kiblat yang tepat bagi menyempurnakan solat anda dengan yakin dan khusyuk. Jika anda memilih untuk menggunakan cara moden, terdapat pelbagai aplikasi yang berfungsi menunjukkan arah kiblat di Play Store. Anda hanya perlu memuat turun sahaja aplikasi ini untuk menggunakannya.

Namun, jika anda ingin menggunakan cara tradisional, anda boleh menggunakan kaedah lintasan matahari. Ini bermakna, anda memerlukan matahari dan juga kayu tegak untuk menandanya. Untuk menentukan arah kiblat, anda boleh melakukannya pada waktu di mana bayang matahari searah dengan kiblat, yakni ketika berlakunya peristiwa Istiwa’ A’dzam (kedudukan matahari tepat di atas Kaabah). Peristiwa ini hanya berlaku 2 kali setahun sahaja. Lintasan matahari ini merupakan kaedah yang telah lama dipraktikkan. Jadi, dengan mengetahui cara menentukan kiblat, anda dapat memudahkan urusan melaksanakan solat anda. Untuk mengetahui penerangan berkenaan kiblat dan aplikasi yang dapat menentukan kiblat, bolehlah anda membaca penerangan 10 Aplikasi Arah Kiblat Terbaik di Malaysia dan Cara-cara Menentukan Kiblat Tanpa Aplikasi. 

menentukan-Kiblat
Kredit Gambar: keluarga.my

Bagaimanakah menentukan waktu solat?

Berkenaan waktu solat ini, solat fardu mempunyai waktu-waktu tertentu yang dibolehkan untuk melaksanakan solat. Untuk solat fardu, anda boleh rujuk kepada penerangan di setiap halaman solat fardu manakala solat sunat pula boleh dikerjakan mengikut waktu yang ditetapkan selain waktu yang diharamkan solat sunat. Berikut adalah waktu-waktu solat di dalam Islam:

1. Waktu fadhilat

Waktu paling afdal (utama) untuk mengerjakan solat ialah pada awal waktu seperti mengerjakan solat sebaik sahaja azan berkumandang di corong radio atau di masjid.

2. Waktu ikhtiar

Waktu ini adalah selepas waktu fadhilat, iaitu sehingga kira-kira boleh menghabiskan solat dengan sempurna pada waktunya.

3. Waktu harus

Waktu ini sama seperti waktu ikhtiar. Hukumnya sama seperti waktu ikhtiar melainkan pada waktu Asar, berkekalan hingga kuning matahari, pada waktu Isyak, berkekalan hingga fajar saddiq dan juga pada waktu Subuh, sehingga merah di tepi langit.

4. Waktu hurmah (haram)

Waktu haram ialah waktu di hujung waktu solat, yang mencemaskan sehingga tidak dapat menyempurnakan solatnya secara sempurna.

5. Waktu darurat

Waktu darurat jatuh pada waktu orang yang baru hilang daripada perkara yang menegah solat seperti haid, nifas, gila dan sebagainya. Ketika itu, kadar waktu solat yang ada hanyalah sekadar sempat mengangkat takbiratul ihram.

6. Waktu idrak

Waktu idrak adalah antara awal waktu datangnya halangan untuk solat seperti datang haid, bersalin dan sebagainya. Apabila dalam jangka masa tersebut seseorang itu sepatutnya sempat mengerjakan solat tetapi dia tidak melakukannya, maka solat yang ditinggalkannya itu wajib diqadakan.

7. Waktu jawaz tetapi makhruh

Waktu jawaz tetapi makhruh adalah seperti waktu asar, bermula dari matahari kekuningan hingga berkekalan sampai waktu akhir kadar lulus solat. Atau waktu maghrib iaitu bermula setelah habis syafak (awan-awan merah di langit) sehingga akhir waktu kadar lulus solat. Atau waktu Isyak yang bermula dari fajar kazib (fajar sebelum matahari terbit) sehingga ke waktu akhir kadar lulus solat. Dan akhir sekali pada waktu Subuh, iaitu bermula dari merah di tepi langit sehingga ke waktu akhir kadar lulus solat.

8. Waktu uzur

Waktu uzur iaitu waktu antara Zuhur dengan Asar, yakni antara hujung waktu Zohor dan awal waktu Asar atau Maghrib dengan Isyak, jamak takdim atau takhir untuk mereka yang bermusafir.

9. Waktu haram solat (tahrim)

Waktu tahrim atau haram solat adalah sesudah solat subuh, ketika matahari hampir terbit atau sedang terbit, ketika rembang iaitu matahari tegak di atas kepala, ketika matahari hampir terbenam dan juga sesudah solat asar. Waktu-waktu ini haram mengerjakan solat kecuali solat yang bersebab seperti solat qada, Solat Sunat Wuduk, Solat Tahiyyatul Masjid, Solat Sunat Tawaf, Sujud Tilawah dan Sujud Syukur dibolehkan.

Waktu-haram-solat-tahrim
Kredit Gambar: 1001malam.com

Apakah perkara yang boleh membatalkan solat?

Sebenarnya, terdapat beberapa perkara yang boleh membatalkan solat antaranya:

1. Keluar atau datangnya hadas kecil atau besar

2. Ketawa atau berkata-kata dengan sengaja walaupun sedikit

3. Makan dan minum dengan sengaja

4. Melakukan pergerakan di luar rukun solat 3 kali berturutan

5. Berniat untuk keluar solat (mufaraqah)

6. Terkena najis yang tidak boleh dimaafkan pada badan, pakaian dan tempat solat

7. Beralih daripada kiblat dengan sengaja (berpaling dada)

8. Terbuka aurat sama ada dengan sengaja ataupun tidak dan tidak segera menutup aurat

9. Berubah niat daripada satu solat ke solat yang lain

10. Meninggalkan rukun solat

11. Murtad

Bagaimana pula dengan perkara yang makhruh semasa solat? Sebenarnya ada beberapa perkara yang mungkin tidak kita sedari melakukannya sewaktu mengerjakan solat. Adalah penting untuk kita mengetahui perkara-perkara ini agar kita dapat memelihara solat kita dengan sempurna. Berikut adalah perkara makhruh yang dilakukan semasa solat:

1. Berpaling ke kanan atau kiri kecuali ketika memberi salam di akhir solat

2. Memandang atau mendongak ke atas

3. Berdiri menggunakan sebelah kaki

4. Meludah ke hadapan atau di sebelah kanan

5. Berlebih-lebihan membongkok dan menundukkan kepala ketika rukuk

6. Bercekak pinggang

7. Menyinsing kain atau baju

8. Bersembahyang ketika makanan dihidangkan kerana ini boleh membuatkan anda tidak khusyuk

9. Bersembahyang ketika berasa hendak qadha hajat atau ke tandas

10. Menutup mata ketika solat

Solat merupakan tiang agama dan jika rosak tiangnya maka runtuhlah pegangan seseorang dalam meniti kehidupan. Agama dan solat adalah sejajar dalam mencapai kepuasan hidup dan keredhaan Allah S.W.T. Diharapkan perkongsian kali ini bermanfaat untuk anda dan dapat diamalkan dengan sepenuh hati.

Perhatian: Senarai di atas merupakan hasil tinjauan pasukan My Weekend Plan bagi menyampaikan maklumat yang berguna kepada masyarakat. Sekiranya anda mempunyai cadangan, emailkan kepada kami di [email protected]. Bagi maklumat lanjut, anda boleh merujuk hak cipta, privasi dan polisi kami.

feature your brand now

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Close
© Hak Cipta 2022 oleh My Weekend Plan. Hak Cipta Terpelihara.
Close